Saturday, July 11, 2009

Jam dua lima minit petang di hari ini

Sebulan sebelum jam dua lima minit petang di hari ini
Kita
Baru berkenal-kenal
Baru belajar ucap hai
Baru pandai menyapa aku-engkau
Tapi waktu itu aku masih malu-malu

Seminggu sebelum jam dua lima minit petang di hari ini
Kita
Baru menjadi semakin akrab
Baru mula ketawa-sengih seringai
Baru pandai ucap, hai sayang!
Tapi waktu itu engkau sedang sakit-sakit

Sehari sebelum jam dua lima minit petang di hari ini
Kita
Baru mula bersuka-suka, bermanja-manja
Baru pandai memeluk engkau, erat-erat
Baru tahu rasa kasihnya aku pada engkau
Tapi waktu itu engkau cuma senyum saja

Semalam sebelum jam dua lima minit petang di hari ini
Kita
Baru tahu memberi cium di dahi
Baru pertama kali membawa engkau tidur sama
Baru pertama kali nikmati malam berdua
Tapi waktu itu engkau hanya senyap

Sejam sebelum jam dua lima minit petang di hari ini
Kita
Baru saja sama-sama berdua
Baru saja ucap, bangunlah sayang, usah tidur lagi...
Baru saja mengusap dahi engkau
Tapi waktu itu aku sepertinya sudah hilang akal

Seminit sebelum jam dua lima minit petang di hari ini
Aku
Baru saja sudahkan ayat terakhir bacaan Yaasin aku buat engkau
Baru mula hati aku berdegup halilintar
Baru rasa hidup bagai disimbah risau menggila
Tapi waktu itu engkau cuma tercungap-cungap

Setibanya jam dua lima minit petang di hari ini
Engkau
Baru saja tinggalkan aku seorang
Baru saja lepaskan sakit segala engkau dengan tenang
Baru saja pulang kepada Allah
Tapi waktu itu aku semacam mati sama engkau

Sejam selepas jam dua lima minit petang di hari ini
Aku
Baru siap menguburkan engkau
Baru sudah membaca Al-Fatihah buat engkau
Sedang... menyimpan air mata
Tapi waktu itu engkau-aku tidak lagi akan jumpa

Sayang
Engkau sungguh tinggal tulang tanpa makan minum, tanpa tenaga
Aku ini sayang betul pada jasad, hati dan jiwa engkau
Hidup aku hari-hari mendatang bukan lagi yang kita-kita
Dari itu, aku perlu tetap merelakan engkau, sayang
Semoga Allah sentiasa bersama kucing kecil aku
Yang baru saja ucapkan, selamat tinggal sama aku
Jam dua lima minit petang di hari ini


*


P.S Al-Fatihah buat kucing kecil saya tercinta (sebelas julai kosong sembilan)

2 comments:

  1. )': sedeynye.. boleh sy nangis?? T___T selamat tggal jugaa pada kucing !!!

    ReplyDelete
  2. :) malam ini dia tak menemani aku tidur lagi.



    Sayang, selamat malam. Kakak rindu kamu.

    ReplyDelete

Komenterkan ke saya o-kay? Juga kepilkan sekali senyuman kamu itu.